SERDANG, 22 Oktober 2025 — Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Empat Belas sesi 2025/2026 bersama Barisan Felo Kolej Empat Belas telah mengadakan Lawatan Jalinan Kerjasama ke Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 18 Oktober 2025.
Kunjungan tersebut turut melibatkan barisan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Keris Mas bersama Majlis Felo Kolej Keris Mas yang berpaksikan pembinaan hubungan kerjasama erat antara dua buah organisasi pelajar di bawah institusi pengajian tinggi awam.
Setibanya di sana, MPK Kolej Empat Belas telah disambut baik oleh MEP Kolej Keris Mas sebelum sesi lawatan ke fasiliti-fasiliti kolej dilaksanakan. Lawatan tersebut turut disertai dengan sesi perkongsian mengenai pengenalan, struktur organisasi, serta pencapaian kedua-dua pihak yang telah dicapai sepanjang sesi kepimpinan masing-masing.

Sesi pada waktu petang dimeriahkan lagi dengan kehadiran Prof. Dr. Mohamad Aris Mohd Moklas, Pengetua Kolej Empat Belas dan Dr. Mohd Shahril Nizam Md. Razi, Pengetua Kolej Keris Mas, bagi menyempurnakan sesi pengenalan rasmi kedua-dua buah kolej. Majlis ini menjadi simbolik kepada permulaan hubungan dua hala yang dijangka mampu menerajui kecemerlangan organisasi pelajar di kedua-dua universiti.

Sebagai penutup majlis, acara sukaneka santai turut diadakan bagi mengeratkan ukhuwah dan semangat setiakawan antara kedua-dua organisasi. Aktiviti tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya mewujudkan suasana mesra dan harmoni dalam kalangan peserta.
Diharapkan lawatan ini dapat membuka peluang lebih luas bagi Kolej Empat Belas dan Kolej Keris Mas untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti pembangunan sahsiah, kebajikan, dan kepimpinan pelajar. Kedua-dua pihak juga berpotensi untuk melaksanakan inisiatif bersama yang memberi manfaat besar kepada komuniti kolej dan universiti secara holistik.

Lawatan ini bukan sekadar membina hubungan, tetapi turut menyemai semangat kebersamaan serta integrasi antara dua institusi pengajian tinggi yang sama-sama menjunjung aspirasi Mahasiswa Sejahtera, Universiti Gemilang — berteraskan prinsip kolaborasi, inovasi dan kesejahteraan mahasiswa.
Tarikh Input: 22/10/2025 | Kemaskini: 22/10/2025 | zawiyah

Kolej Empat Belas, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor