Putra Mobility Programme Beri 1001 Pengalaman Manis Kepada Mahasiswa UPM | KOLEJ EMPAT BELAS
» ARTIKEL » Putra Mobility Programme beri 1001 pengalaman manis kepada mahasiswa UPM

Putra Mobility Programme beri 1001 pengalaman manis kepada mahasiswa UPM

Shahdhuan Alwi Sukor, Pengarah Program

Isnin, 1 November 2017

 

PADANG – Seramai 20 orang mahasiswa yang terlibat dari kalangan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Empat Belas (MTM K14), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan program mobiliti selama 2 minggu iaitu pada 11 hingga 24 Oktober 2017 yang lepas ke Universitas Andalas (UNAND) dan ke sekitar Padang, Sumatera Barat, Indonesia anjuran kerjasama antara Putra International Centre, UPM dengan International Office, UNAND.

Pegawai International Office, UNAND, Mrs. Vonny Indah Mutiara berkata kunjungan dari mahasiswa UPM merupakan titik permulaan kepada kerjasama berterusan UPM-UNAND pada masa akan datang disamping mengukuhkan lagi hubungan erat antara 2 buah negara serumpun iaitu Malaysia dan Indonesia.

Program mobiliti ini telah membawa mahasiswa UPM bersama buddies dari kalangan mahasiswa UNAND mengikuti program khas di UNAND seperti lawatan sekitar kampus, lawatan ke American Corner (AmCor) UNAND, lawatan ke Pusat Pengumpulan Sampah dan Pemprosesan Kompos UNAND, lawatan ke Pusat Makmal Bioteknologi UNAND serta lawatan ke fakulti-fakulti yang berkaitan dengan jurusan program mahasiswa UPM yang semestinya telah memberi input berguna kepada kedua-dua belah pihak melalui perkongsian ilmu, perbincangan pertukaran idea dan pendapat serta melakukan aktiviti bersama yang dapat mengeratkan silaturrahim antara mahasiswa UPM-UNAND yang terlibat.

Disamping program bersama UNAND, mahasiswa UPM turut tidak melepaskan peluang dengan mengembara di bumi Minangkabau ini seperti menikmati panorama memukau di Lembah Harau serta di Taman Panorama Ngarai Sianok dan mercu tanda Padang iaitu Jam Gadang yang terletak di Bukit Tinggi. Turut tidak terlepas, mahasiswa UPM ini turut ke Lobang Jepang dalam mempelajari sejarah yang berlaku semasa pembinaan terowong bawah tanah peninggalan tentera Jepun semasa Perang Dunia ke-2. Ditambah pula keseronokan ini apabila mahasiswa UPM dapat membawa pulang pelbagai buah tangan dari Padang kepada yang tersayang di Malaysia. Selain itu, mahasiswa UPM turut merasai nikmat percutian apabila saki baki hari terakhir di Padang dimanfaatkan dengan ke Pulau Mandeh yang menyajikan lautan biru jernih yang memukau serta pakej yang ditawarkan juga berpatutan.

Semoga hubungan kerjasama ini akan menjadi titik permulaan yang bermanfaat untuk kedua-dua belah pihak agar dapat diteruskan pada masa akan datang. Kunjungi laman web www.k14.upm.edu.my dan www.upm.edu.my untuk pelbagai maklumat dan buletin.

Tarikh Input: 22/01/2018 | Kemaskini: 22/01/2018 | zawiyah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ EMPAT BELAS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697418 / 7417
tiada
SXETTAN~